Sejarah sekolah

Sekolah Kebangsaan Nyior Chabang terletak dalam Mukim Bohor, Langkawi Kedah. Jarak dengan Pekan Kuah ialah 24 km. Pekan kecil yang terdekat ialah Pekan Padang Matsirat, di mana jaraknya Cuma 5 km. Sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun 1962. Pada tahun tersebut sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan dan dua bilik darjah sahaja. Pada mulanya murid-murid yang belajar di sekolah ini hanya sehingga darjah empat. Seterusnya mereka akan menyambung pelajaran mereka ke darjah lima dan enam di Sekolah Kebangsaan Padang Matsirat kerana sekolah ini di bawah pentadbiran sekolah tersebut.
    Pada tahun 1984 sekolah ini mempunyai enam bilik darjah yang terdiri daripada darjah satu hingga darjah enam. Pada ketika itulah sekolah ini mempunyai pentadbiran sendiri dengan mempunyai empat kakitangan tenaga pengajar.
    Hasil kepesatan dan perkembangan penduduk persekitaran maka dapat mempengaruhi perubahan fizikal dan enrolmen murid sekolah ini. Setiap tahun berlaku penambahan enrolmen muridnya. Maka pada 1 September 2002 sekolah ini dinaikkan gred daripada sekolah gred B ke sekolah harian gred A.
    Sekolah ini dinamakan ‘Sekolah Kebangsaan Nyior Chabang’ bersempena dengan nama kampung ini, Kampung Nyior Chabang. Dipercayai pada suatu masa dahulu terdapat sebatang pokok kelapa atau nyiur yang bercabang dua tumbuh di kampung ini. Sekolah dan kampung ini dinamakan sempena dengan pokok kelapa atau nyiur tersebut.
    Kini sekolah ini hampir dilengkapi dengan pelbagai prasarana yang agak lengkap dalam pelbagai segi dan mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain yang lebih besar. Dengan kemampuan dan kredibiliti guru serta infrastruktur yang ada, SK. Nyior Chabang telah berjaya melahirkan generasi tempatan yang berdaya saing dalam pelbagai bidang kehidupan. Bersesuaian dengan mottonya "Sepakat membawa berkat",SKNC telah berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam setiap pertandingan yang disertai. Dengan visinya untuk menjadi salah sebuah sekolah tersohor di Langkawi pada tahun 2015, pelbagai perancangan telah disusun untuk mencapainya. Semoga visi tersebut menjadi kenyataan bukan sekadar ucapan. SKNC TERSOHOR 2015.    

Nuffnang Ads

Langganan

.:Penafian: Pihak SKNC tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan semasa melayari portal ini.....

page

Search This Blog